Monday, March 24, 2008

“Di manakah Anda?” Antara Realiti dan Fantasi…

Oleh:
Amshar Mohamad
Setiausaha Kerohanian PMUSU


Baru-baru ini iaitu pada tanggal 16 Mac 2008 yang lalu, Kerohanian Perwakilan Mahasiswa Malaysia Universitas Sumatera Utara (PMUSU) telah mengadakan satu program khas untuk mahasiswa muslim Malaysia yang belajar di USU. Program yang bertemakan “Di manakah anda?” Antara reality dan fantasi… yang diadakan di musala Fakultas Kedokteran Gigi (FKG) telah menarik minat ahli sekitar 50 orang yang terdiri dari mahasiswa Perubatan dan Pergigian. Objektif utama program adalah mengajak seluruh mahasiswa muslim mengenali Majlis Ilmu, Dakwah dan Tarbiyah. Berlandaskan kepada maksud firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, “Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis,” maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, “Berdirilah kamu,” maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (derajat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa derajat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Mujadilah, 58:11)


Program dimeriahkan dengan kehadiran dua orang ahli panel sebagai Tetamu Undangan dari Malaysia iaitu Saudara Mohd Sahrularifin Ab Manan, pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam jurusan Mechanical Engineering dan Saudara Umar Abdul Aziz yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Master dalam bidang Electrical Engineering di Universiti Teknologi Mara (UTM).

Tepat jam 8.30 pagi, program dimulai dengan ucapan alu-aluan dari Exco Kerohanian sendiri, Saudara Ahmad Aizatnur Zakaria dan kemudian disusuli pula dengan alunan bacaan Al-Quran oleh Ketua Lujnah Tarbiyah Kerohanian, Saudara Wan Mohd Suhafifi. Pada program tersebut juga, Presiden (PMUSU) iaitu Saudara Hakim telah diberi kesempatan untuk memberi sepatah dua kata sebelum ahli panel menyampaikan buah fikirannya masing-masing.

Sesi yang pertama, Saudara Umar Abdul Aziz telah menyampaikan presentasinya yang bertajuk ‘Peranan Mahasiswa Muslim’. Kemudian, program berhenti rehat selama 30 minit dan disambung pula dengan sesi yang kedua oleh Saudara Mohd Sahrularifin Ab Manan yang bertajuk ‘Ghazwul Fikri’ atau ‘Perang Pemikiran’. Dalam sesi ini, mahasiswa-mahasiswa diberikan pendedahan terhadap strategi-strategi musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam di mana mereka tidak menggunakan senjata tetapi dengan melakukan perang saraf bertujuan menjauhkan umat Islam dari mengamalkan isi kandungan al-Quran.

Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).” Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah.

(surah al-Baqarah, 2:120)

Antara yang menjadi pautan…


Kemudian, program berhenti rehat untuk makan tengahari dan solat zohor berjamaah. Setelah itu, program diteruskan lagi dengan Tayangan Video ESQ dan Animasi Dakwah sebelum program bersurai pada jam 3.00 petang. Berdasarkan kepada ‘Self Evaluation Form’ dan ‘Post Mortem Report’, program ini telah berlangsung dengan sukses. Terima kasih kepada semua AJK Pelaksana. Semoga program training pembentukan peribadi seumpama ini dapat diteruskan oleh mana-mana mahasiswa Malaysia di Luar Negara untuk mengingatkan mana yang terlupa dan menyedarkan mana yang terleka. Seperti yang dinyatakan oleh Exco Kerohanian, “It’s a simple program but effective.”

No comments: