Saturday, March 15, 2008

Madu Lebah..

Oleh:
Amshar Mohamad
Pelajar Tahun Dua
USU School of Medicine.


Apakah hanya sekadar manisan?


Sudah pasti ramai yang pernah mendengar istilah ‘madu tiga’, ‘bermadu’, ‘madu lebah’ dan lain-lain. Pokoknya apa sahaja yang berkaitan dengan madu, pasti ramai yang membayangkan kemanisannya. Namun, apakah benar madu hanya disimbolkan sebagai sesuatu yang manis? Lebih-lebih lagi madu lebah. Tidak ramai yang tahu bahawa selain kemanisan, masih banyak lagi kegunaan dan khasiat pada madu lebah.

Madu lebah adalah cairan nectar yang pekat yang dikeluarkan dari perut lebah dan dikatakan mempunyai kandungan ubat yang mampu menyembuhkan bagi manusia. Di dalam al-Quran surah an-Nahl ayat 68-69 ada menyebut :

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “Buatlah sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan manusia. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.”

Dengan kekuasaan Allah SWT, terdapat beranika jenis, warna dan rasa madu lebah bergantung kepada jenis makanan yang dikonsumsi oleh lebah dan tempat tinggalnya. Ada madu lebah yang berwarna merah, putih, kuning, beku dan cair.

Antara unsur-unsur yang terdapat dalam madu lebah adalah air, protein, fruktosa, glukosa, sukrosa, nitrogen, karbon, dextrin, dan vitamin. Semua unsur ini amat diperlukan oleh tubuh manusia untuk mengekalkan kesehatan.

Khasiat yang tersimpan

Dalam sahih Bukhari, Rasulullah bersabda :

Kesembuhan bisa diperoleh dengan tiga cara iaitu dengan meminum madu, dengan bekam, dengan besi panas dan aku melarang umatku berobat dengan besi panas.”

Berdasarkan hadis di atas, menunjukkan bahawa madu lebah digunakan untuk menyembuhkan. Dr. Muhammad Said Khanbasy (Fakulti Agrikultur Universiti Aden, Yaman) menegaskan:

Ada beberapa hasil penelitian yang membuktikan keampuhan madu untuk mengobati penyakit-penyakit jantung, kelelahan, gangguan pencernaan dan kencing manis.”

Selain itu, madu lebah juga dikatakan dapat menstabilkan tekanan darah, memberikan sumber energi tambahan, meningkatkan daya tahan tubuh manusia dan apabila mengkonsumsinya, ia mudah diserap serta dapat membantu proses pencernaan.

Terdapat juga kajian madu lebah mengikut tempat dari para penyelidik. Contohnya seperti madu lebah dari pokok strawberi di Saidinia digunakan bagi merawat pelbagai jenis penyakit kerana kesan teraputiknya yang hebat. Begitu juga yang madu lebah dari Lembah Jirdin, Yemen. Manakala bagi madu lebah dari pokok teratai di India pula terkenal sebagai penawar bagi penyakit mata. Madu lebah Manuka dari New Zealand terkenal dengan kesan antiseptic yang bisa membunuh kuman baik dari bakteria, fungus mahupun protozoa.

Yang mana satu madu asli?

Di era teknologi yang sedang berkembang ini, bermacam-macam perkara yang boleh diwujudkan untuk menggantikan dengan yang asli. Malah, bahan tiruan yang diwujudkan hampir sama dengan yang asli. Namun demikian, yang palsu akan tetap palsu kerana yang tidak asli ini mungkin telah tercemar dengan bahan-bahan kimia sehingga menyebabkan ianya tidak lagi selamat dikonsumsikan oleh manusia. Lalu bagaimana kita membezakannya?

Terdapat beberapa cara yang kita boleh uji sama ada madu lebah itu asli atau yang telah tercemar. Antaranya :

1. Campurkan IV iodium tincture dengan 25 tetes madu dalam botol kecil yang bening, lalu kocok hingga rata. Jika terlihat warnanya menghitam bererti madu tersebut dari gula (palsu) kerana jika gula yang mengandungi amilum bercampur dengan iodium, warna iodium akan bertukar menjadi biru kehitaman. Sedangkan madu yang asli tidak mengubah warna iodium yang asal.

2. Masukkan 3 sendok makan madu ke dalam segelas air, kocok hingga rata lalu biarkan lebih kurang satu jam. Bila terdapat butiran halus berwarna kuning atau coklat muda di dasar gelas bererti madu itu adalah asli. Sebaliknya terjadi jika madu itu adalah yang palsu.

3. Masukkan madu ke dalam peti sejuk selama 3 hari. Jika madu tersebut tidak membeku melainkan hanya mengental saja bererti itu adalah yang asli. Namun jika ia tidak mengalami perubahan dan masih tetap seperti sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk bererti madu tersebut sudah tercemar dengan zat kimia iaitu zat anti beku.


4. Madu yang masih asli tidak akan larut ke dalam air dingin.

Oleh yang demikian, setiap apa yang dikurniakan oleh Allah SWT ada hikmahnya yang tersendiri. Tergantunglah kepada manusia bagaimana untuk menggunakannya. Dan kita harus ingat bahawa walaupun sekecil-kecil makhluk Allah SWT itu, pasti ia mempunyai kebaikannya di dunia ini dan jangan sekali-kali kita meremehkan mereka kerana ada kemungkinan ia memberi kebaikan diri kita sendiri.

Rujukan :

  1. Khasiat Madu Dalam al-Quran dan Sunnah. Dr Sayyid al-Jamili.
  2. Metode Pengobatan Nabi SAW. Ibnu Qayyim al-Jauziyah.
  3. Quran Saintifik. Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains. Dr Danial Zainal Abidin

No comments: